Sabtu, 10 Oktober 2009

KURSUS SENJATA BANTUAN

Ini adalah kursus yang amat mencabar dan membahayakan sekali. Mana tidaknya, kursus ini mengajar semua anggota cara mengendalikan senjata bantuan kompeni/ batalion dengan betul. Kesilapan semasa mengendalikan pelbagai senjata ini boleh mengundang padah/ maut.

Pernah terjadi satu peristiwa bagaimana seorang pelatih kursus ( palapes UKM ) hampir maut bersama jurulatih semasa latihan membaling granet/ bom tangan di Lapang Sasar Kem Gurun, Kedah semasa latihan seminggu di sana. Kejadian tersebut berlaku mungkin disebabkan kecuaian pelatih/ perasaan gementar dan takut. Ini menyebabkan bom tangan yang sepatutnya dibaling ke sasaran terlepas. Kecekapan jurulatih yang turut sama dalam latihan membaling bom tersebut telah serta merta menarik pelatih dan meniarap bersama di tembok bersebelahan. Risiko bom tersebut meletup adalah 7 saat selepas dicabut pinnya. Bayangkan selepas 2 saat mereka meniarap bom tersebut meletup di kubu bersebelahan. Gema letupan cukup kuat pada masa itu. Andai jurulatih juga gugup/ terleka masa itu sudah pasti 2 nyawa gugur sia-sia di kawasan latihan itu.

Diringkaskan cerita, dalam kursus ini aku dan 2 orang rakan daripada Rejimen 508 Seremban telah terlewat 2 hari melapor di Puswatan. Puncanya Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di Kem Rasah tiada doktor perubatan untuk kami menjalani medical check-up sebelum melapor ke Puswatan. Akibatnya kami terpaksa ke RSAT di Pusat Latihan Asas Darat (PUSASDA) PD. Di sana kami terpaksa menjalani pemeriksaan kesihatan bersama-sama anggota rekrut Tentera Darat yang baru 3 minggu menjalani latihan. Selepas selesai kami terus ke Puswatan Ipoh dengan menaiki Proton Wira aku. Kami sampai di Puswatan hampir pukul 8 malam. Pada pukul 9 malam kami telah dibariskan di hadapan berek. Waktu inilah kami semua telah didera dengan teruk sekali dalam situasi change-parade. Bayangkan semasa berbaris itu, kami telah diarahkan untuk berpakaian baju melayu lengkap bersamping dalam tempoh masa 4 minit dan berbaris semula. Akibatnya ramai gagal mematuhi masa kerana terpaksa naik turun tangga berek disamping kesulitan mencari pakaian masing-masing kerana masih berada di dalam beg pakaian. Bayangkan kami turun naik tangga, selongkar dan salin pakaian itu ini dalm masa yang amat terhad itu. Bagi setiap kelewatan itu kami semua pelatih telah dipaksa tekan tubi sebanyak 50X bagi setiap kelewatan itu. Dengan 6 kali sesi bermakna kami semua telah melakukan tekan tubi itu sebanyak 300X pada malam itu. Dan yang paling seksa apabila kami semua terpaksa berpakaian lengkap loreng ( pakaian perang ) lengkap dengan pack berisi pasir/ berat lebih kurang 2 biji batu bata semasa change-parade ke 6. Letih dan azabnya cukup terasa kerana jurulatih pegawai Kapten Syed cukup terkenal sebagai jurulatih yang suka mendera pelatih kursus. Malam itu peluh jantan kami gugur juga membasahi bumi lantaran dek penangan Kapten Syed itu. Dalam hati memang terbuku perasaan benci yang meluap-luap, namun bila difikirkan semula memang itulah harga yang perlu dibayar oleh setiap pelatih kursus yang datang menjalani latihan di sana. Kami juga tahu latihan seperti itu adalah asas kepada semangat esprit-de corp dikalangan kami semua.


Pagi esoknya kami semua ( yg beragama islam ) diwajibkan pula ke surau pasukan untuk solat subuh berjemaah. Itulah rutin kami selama sebulan di sana ( kecuali hari Sabtu dan Ahad ). Tepat pukul 6.30 pagi kami semua yang berseluar loreng dan ber t-shirt putih dilanyak pula untuk latihan pendidikan jasmani. Daripada putih, baju kami semua penuh tanah dan lumpur disamping basah dek embun yang membasahi rumput padang. Daripada melompat, kami diayak pula merangkak, berguling, berlari ke setiap penjuru padang. Letihnya tuhan saja yang tahu. Pening, muntah angin macam-macam terasa apabila berguling ke penjuru padang. Bumi bagai berputar rasanya. Mujur perut kosong hanya angin yang keluar. Tepat 7.15 pagi latihan PJ kami tamat. Maka berlarilah kami ke berek masing-masing untuk mandi dan berpakaian loreng lengkap bagi mengikuti kelas pagi yang bermula 8.15pagi. Biasanya pukul 7.40pagi kami telah berpakaian lengkap dan terus ke dewan makan Wisma Perwira ( pelatih berpangkat pegawai) untuk sarapan pagi. Bagi anggota LLP ( Lain-lain pangkat ) mereka bersarapan di Wisma Bintara ( pelatih berpangkat sarjan hingga PW 2) manakala yang berpangkat koperal di Wisma Petanda.

Pada minggu pertama kursus selalunya kami belajar teori Ilmu Medan Perang (IMP). Pada mggu ke 2 teori dan ujian, minggu ke 3 latihan praktikal dan minggu ke 4 teori,ujian dan exam.
Pada hari ke 3/4 kami selalunya akan menjalani orientasi kem. Pada masa ini selalunya jurulatih pegawai akan mendera kami dengan pelbagai jenis aktiviti lasak spt tekan tubi 100X, tepuk lalat ( PT 10 ) 100X dan beberapa lagi pergerakan yang memeritkan. Itu belum lagi merangkak dan berguling di padang/ jalan bertar di waktu panas terik matahari. Berlari keliling kem dengan melakukan pelbagai pergerakan dan diakhiri di kawasan merempuh halangan - meniti tangga kambing, memanjat tembok 6 kaki tinggi, 12 kaki tinggi, monkey rack dan direndam di dalam kolam yang penuh lumpur dan berkeladak. Semuanya merupakan pengalaman yang menyeksakan tetapi menyeronokkan. Rutin pagi kami sepanjang hari ialah solat subuh berjemaah, senaman pagi ( 6.30-7.15pg), Sarapan pagi, Kelas IMP ( 8.15 - 10.15pg ) rehat, sambung kelas ( 10.35 - 1.05tgh ). Manakala waktu petang riadah/ bersukan ( 3.30-6.00 ptg ). Malam biasanya kami keluar ke bandar Ipoh untuk lepaskan tension latihan dengan pekena roti canai dan teh madras di gerai mamak. Balik kul 1 @ 2.00 pg. Pegawai lewat masuk kem tak apa..tapi kalau lain2 pangkat...lewat selepas kul 12 tgh mlm.....alamat pg esok pikul batang balak 5 kaki panjang pusing padang kawad la....hahaha. Hari minggu pertama dan kedua kami biasanya diberi cuti. Minggu ke 3 & 4 pula selalunya kami berada di kawasan latihan/ medan. Jadi kami berlatih 7 hari seminggu le....

Minggu kedua
Dalam minggu ni...kami akan menghadapi ujian berkaitan IMP yang diajar. Dalam kursus tentera ini yang menariknya berbanding kursus dalam sektor awam, kami akan berbaris/ berkawad dalam setiap tempat yang kami tuju. Kadang-kadang kami berlari...bagi rakan-rakan yang agak debab beb....fuyoo mengah, tercungap-cungap melayan stamina rakan-rakan yang berbadan fitnes/ mantap.

Minggu ke 3
Pada awal minggu kami akan mengajar kelas senjata mengikut sindiket/ kumpulan masing-masing. Bermakna kami akan menjadi pengajar kepada rakan-rakan dalam kumpulan mengikut tajuk/ jenis senjata yang diberikan. Buat dajal...biasalah tu, kadang-kadang rakan-rakan pekena kan kita semasa sedang mengajar....tujuannya untuk menguji tahap kesabaran dan pengetahuan kita tentang senjata/ tajuk yang diajar.

Denda....!!! dalam tentera perkara biasa. Bukan apa supaya pelatih tidak leka, lalai atau ambil mudah tentang perkara yang diajar. Senjata contohnya...bukan boleh buat main-main kerana ia melibatkan nyawa. Kesilapan semasa mengendalikannya pasti mengundang nyawa. Dalam kursus senjata kami selalunya akan pergi ke Kem Hobart Gurun Kedah pada minggu ke 3, selama seminggu. Di sana kami akan berlatih menggunakan peluru dan bom hidup. Ini bermakna kami kena buat dengan betul dan tahap disiplin yang tinggi.

Kem Hobart, Gurun ! sebut sahaja namanya pasti bagi anggota/ bekas-bekas tentera yang pernah ke sana tau apa ada di sana. Kem sejak zaman British ini banyak meninggalkan kisah suka, duka, misteri dan menyeramkan. Tempat yang banyak memakan korban anggota tentera kita dan tentera asing yang berlatih di situ.

Kisah bunyi orang mandi di bilik air pada lewat tengah malam sering berlaku. Padahal masa itu tidak ada seorang pun yang berada di tempat itu. Di tengah lapang sasar yang dikelilingi hutan simpan pun berlaku juga mistik yang pasti meremangkan diri sesiapa yang mengalaminya. Kisah bunyi riuh rendah/ dinding seperti diketuk orang kadang-kadang berlaku di gudang simpanan peluru di lapang sasar itu sehingga hari ini. Kelibat makhluk berkawad tanpa kepala di awal pagi dinihari juga berlaku seperti yang dialami oleh 3 rakan kami yang mana salah seorang daripadanya adalah kakitangan Jabatan Agama Islam Sabah. Ah terlalu banyak misteri untuk diceritakan. Biarlah ianya menjadi misteri hidup kami yang pernah menjalani latihan di tempat itu. Latihan menembak senjata berat GPMG cukup menyeronokkan. Peluru sebesar jari telunjuk itu pasti membunuh sesiapa yang berada di jarak 1800m ( 1.8km ).


http://www.62infantry.com/images/GPMG_SF_smaller.jpg http://mercenarypaintball.com/armory/images/Hand_Grenade_White_Size_500.jpg http://www.skydozer.com/Art/photos/Equipment/60mm-mortar.gif
Senjata GPMG ( kiri ), bom tangan ( tengah ) dan Mortar 60mm ( kanan )

Bunyi dentumannya bagaikan alunan muzik di tempat yang sunyi sepi itu...waktu malam juga kami menembak di lapang sasar itu. Tapi yang menyeronokkan apabila mengendalikan mortar 60mm. Melihat peluru mortar melonjak ke udara dan meletup 400m dihadapan cukup mengujakan. Tapi takut juga apabila pagi itu aku dan rakan Lt Muda Anderson dari Sabah terkedu apabila peluru motarnya tidak meletup/ menuju sasaran. Kami berdua ( seorang mengendalikan senjata mortar dan seorang memasukkan peluru ) terkedu apabila peluru yang dimasukkan oleh Ltm Anderson tidak meletup. Selepas mengoncang2kan batang mortar selama 60 saat seperti dalam prosedur pengendalian, kami terpaksa mengeluarkan peluru tersebut daripada batang mortar. Ah...! andai meletup masa itu juga/ terjatuh di hadapan kami pasti kami terbunuh waktu itu juga. Waktu itulah masing2 terbayang keluarga di rumah yang ditinggalkan.
Bagaikan menatang bayi kecil Ltm Anderson membawa peluru mortar tersebut di balik tembok sebelum diletupkan oleh pakar letupan Askar Jurutera di akhir latihan. Bayangkan pada petang itu 9 butir mortar hidup diletupkan. Bergegar lapang sasar masa itu. Rupa-rupanya mortar yang kami gunakan itu bertarikh 1974 made in USA ( 3 tahun selepas aku dilahirkan ). Ah...ngarutkan ! tapi itulah harga yang perlu kami bayar untuk mengikuti latihan tentera ini yang ramai rakan-rakan guru/ orang awam tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. Bila dikenangkan patutlah negara kita teknologi tenteranya 5 tahun ke belakang berbanding negara-negara jiran. Demi memberikan keselesaan dan kemakmuran kepada rakyat...tentera kita menjadi mangsa kerana menggunakan teknologi yang lapuk dan berisiko. Namun apakah penghargaan yang rakyat berikan...kepada mereka-mereka ini ? Ah...mungkin rakyat negara kita terlalu senang dan mewah hinggakan tidak tahu menghargai keamanan yang dihasilkan daripada pasukan keselamatan ini.

http://www.mil.ee/im/varustus/relvapilt/carlgustav_1.jpg http://www.army.mil.nz/nr/rdonlyres/8d38bc0f-827b-4452-99e1-52063f9995d9/0/carlgustav84mm.jpg
Inilah jenis sama senjata carlgustav yang digunakan semasa latihan di kem Hobart, Gurun, Kedah

Senjata berikutnya yang kami pelajari ialah Carlgustav. Ini senjata anti kereta kebal. Negara lain dah banyak tak guna senjata ni. Tapi negara kita masih gunakan lagi khasnya kursus yang melibatkan anggota wataniah. Setiap orang dapat 2 butir menembak. Pada hari tersebut hujan lebat turun. Tapi latihan diteruskan juga apabila hujan reda dan renyai2. Target kami ialah kereta perisai lama yang terletak 400m dari lokasi kami berdiri. Ada yang kena sasaran..fuh !! handal juga walaupun hanya anggota simpanan, tapi....tak kurang juga yang menjahanamkan dahan dan puncak pokok..tak kena la tu...jauh daripada sasaran. Tapi sekurang2nya kami tahu juga mengendalikan senjata yang cukup ditakuti oleh trup kereta kebal tu.

Minggu ke 4
Kami sibuk dengan persiapan UKM ( Ujian Kemahiran Menembak ) yang diadakan di 2 RRD bersebelahan Puswatan. Alhamdulillah penyertaan daripada orang awam yang dijemput cukup ramai. Mereka inilah yang banyak memberikan sumbangan berbentuk hamper untuk hadiah pertandingan tersebut. Keseluruhan pertandingan UKM anjuran pelatih Kursus Siri 2/2004 itu berjaya dan mendapat pujian daripada Komandan.

Hari Terakhir Kursus
Sedih untuk berpisah ngan kawan2. Sebulan menghadapi suka duka latihan, maki hamun dan sebagainya ditelan bersama. Apapun latihan seperti itulah yang menjadikan aku seorang guru yang lebih berkualiti, berketrampilan dan bersemangat dalam setiap urusan harian di sekolah.
Buktinya..aku berjaya mengubahsuai sebuah tandas lama yang terbiar menjadi sebuah bilik SPBT Cemerlang peringkat Negeri dengan tulang empat kerat ini dengan dibantu 2 orang pekerja sekolah...daripada memecahkan tembok untuk buat tingkap, menyimen dan membuat rak buku semuanya dilakukan dengan semangat dan kesungguhan. Kadang-kadang aku terpaksa tidur di sekolah apabila waktu cuti untuk membuat kerja-kerja pertukangan ini. Daripada Replika Menara KL, Menara Jam, Pondok Mini PSS, Pondok Kitar Semula, Meja kaunter PSS, Rostrum ( tempat berucap ), Pondok Herba, Pondok bacaan dan macam-macam lagi semuanya dilakukan hasil daripada didikan dalam tentera yang mengutamakan tugas daripada lain-lainnya.

zoom_malaysia